Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 02 DISEMBER 2024 : Sebanyak 355 stesen pemancar 5G telah siap dan beroperasi sepenuhnya di Pahang setakat 31 Oktober tahun ini.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, sebanyak 360 struktur pemancar 5G telah dirancang dibina di Pahang dalam tempoh yang sama.
“Pelaksanaan perluasan liputan 5G telah bermula pada tahun 2021 dengan tumpuan diberi ke negeri-negeri di Pantai Barat khususnya di Lembah Klang.
“Dan sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 360 struktur pemancar 5G telah di rancang di negeri Pahang. Dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 355 stesen pemancar 5G telah pun siap dan beroperasi sepenuhnya.
“Pecahan perlaksanaan liputan-liputan 5G bagi fasa berikutnya di seluruh negara termasuk di Pahang masih di peringkat perancangan yang melibatkan pihak Digital Nasional Berhad dan juga entiti kedua penyedia 5G iaitu U Mobile,” katanya.
Beliau berkata dijangkakan pelaksanaan ini akan memfokuskan kepada negeri di Pantai Timur, Sabah, dan juga Sarawak pada tahun hadapan.
Menurut beliau, bagi daerah Jerantut, pengguna boleh menikmati rangkaian 5G daripada beberapa syarikat penyedia perkhidmatan utama namun buat masa kini ia tertumpu di kawasan bandar sahaja.
“Pengguna di daerah Jerantut sudah boleh menikmati rangkaian 5G daripada beberapa syarikat penyedia perkhidmatan utama seperti Maxis, CelcomDigi, Unifi Mobile, dan juga YES. Dan pelan 5G yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat ini meliputi plan prabayar dan juga pasca bayar dengan pelbagai harga dan faedah mengikut kesesuaian pengguna.
“Liputan rangkaian 5G bagi kawasan berpenduduk bagi daerah Jerantut ini setakat ini tertumpu di kawasan bandar sahaja dengan kadar pencapaian dan liputan 5G bagi daerah Jerantut sehingga Ogos tahun ini telah mencapai 31.8 peratus. Manakala di peringkat Negeri Pahang, 66 peratus,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang telah mengadakan rundingan bersama Digital Nasional Berhad untuk perlaksanaan 5G bagi fasa berikutnya di negeri ini.
“Dan Kerajaan Negeri Pahang telah berunding dengan Digital Nasional Berhad untuk perlaksanaan 5G untuk fasa berikutnya kepada tahun hadapan.
“Kerana kita minta DNB memberi tumpuan kepada daerah-daerah lain termasuk juga di Jerantut, Raub, Cameron Highlands, Lipis, Maran, dan Bera, agar wujud keseimbangan liputan 5G di seluruh Negeri Pahang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB. Tuan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

