Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 2 DISEMBER 2024: Kerajaan Negeri Pahang sedang meneliti dua cadangan mewujudkan pusat sehenti yang berfungsi sebagai tempat mempromosikan jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di daerah Jerantut.
Dua cadangan berkenaan ialah pembinaan Pusat Teknologi Jangka Hayat, Lestari Makanan dan Minuman di bawah Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus dengan kerjasama SIRIM Berhad dan Kawasan Rehat dan Rawat Temin (RNR Temin) yang diangkat sebagai projek dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) Daerah Jerantut.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, Pusat Teknologi Jangka Hayat, Lestari Makanan dan Minuman berperanan sebagai tempat pemprosesan, pembungkusan, pelabelan dan pemasaran produk IKS.
“Sebagai permulaan, pusat ini memfokuskan kepada penghasilan satu produk sahaja dengan penglibatan beberapa IKS yang terpilih di mana pihak SIRIM berperanan dalam memberikan latihan penggunaan mesin dan peralatan di pusat ini serta menjalankan program bimbingan pensijilan Halal bagi memastikan produk yang diusahakan mendapat pengiktirafan sijil Halal dan MeSTl.
“Objektif utama penubuhan pusat ini adalah untuk membantu usahawan-usahawan IKS menghasilkan produk dalam skala besar serta memastikan produk yang dihasilkan memenuhi kriteria Halal dan MeSTI untuk pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukan ADUN Damak, YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Ddaud berkatan perancangan Kerajaan negeri untuk membina pusat sehenti mempromosikan produk IKS di Jerantut Skim dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
YB. Dato’ Amizar berkata, bagi pembangunan pusat sehenti RNR Temin pula, Majlis Daerah Jerantut merancang untuk membaangunkannya di kawasan Pusat Pertanian Temin, Mukim Pulau Tawar, Jerantut dengan keluasan 2.315 hektar.
“Projek ini juga telah dibentangkan kepada pihak ECERDC semasa lawatan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC ke Daerah Jerantut pada tahun 2022 di mana iaa akan dilengkaapi komponen pembangunan sepertikemudahan kawasan hentian seperti medan selera, tandas dan stesen minyak, pusat jualan kraftangan, bengkel IKS, gerai buah-buahan tempatan dan Pejabat Operasi dan Pusat Informasi Pelancong.
“Permohonan peruntukan bagi pembangunan kawasan RNR Temin ini akan diteruskan dalam senarai cadangan projek Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13),” ujarnya.
Beliau dalam pada itu berkata, Majlis Daerah Jerantut dan abatan-jabatan di daerah Jerantut juga sentiasa memberi keutamaan kepada peniaga yang mengusahakan produk IKS seperti penyediaan premis perniagaan yang bersesuaian dengan pengusaha IKS di bandar Jerantut, mempromosi produk IKS dengan menjemput pengusaha produk IKS dalam program daerah dan menggunakan produk IKS sebagai cenderahati serta memberi insentif seperti pengurangan kadar sewaan premis kepada pengusaha yang terlibat sama mempromosikan pelancongan di daerah Jerantut. -PAHANGMEDIA

