Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 2 DISEMBER 2024: Seramai 8,664 suri rumah di negeri ini telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula Januari sehingga September tahun ini.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang berkata, skim berkenaan bertujuan untuk melindungi pencarum dari Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan.
Katanya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50 Juta bagi melanjutkan tanggungan bayaran caruman SKSSR untuk melindungi lebih 400,000 suri rumah Wanita yang berdaftar di bawah eKasih seluruh malaysia.
Tambahnya lagi, antara faedah yang diperoleh dari caruman skim termasuklah elaun Layanan Sentiasa di mana sebanyak RM250 sebulan diberikan kepada suri rumah yang mecarum.
“Pencarum yang layak mendapat faedah ini adalah suri rumah yang berhak kepada faedah hilang upaya kekal atau elaun keuzuran dan sentiasa memerlukan layanan peribadi orang lain. Faedah ini akan terhenti apabila suri rumah mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukan ADUN Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long Skim Keselamataan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan SKSSR dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
YB. Tuan Sim juga berkata, pencarum SKSSR juga layak mendapat Faedah Elaun Keuzuran yang dibayar secara bulanan sebanyak RM300 jika suri rumah berinsurans disahkan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan sehingga mencapai umur 55 tahun.
“Selain itu pencarum juga boleh menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 dibayar kepada orang tangungan yang layak sekiranya suri rumah berinsurans meninggal dunia akibat bencana domestik atau sebarang sebab sebelum mencapai umur 55 tahun dan Faedah Pencen Penakat sebanyak RM300 sebulan kepada orang tanggungan sekiranya suri rumah berinsurans meninggal dunia akibat bencana domestik atau sedang menerima elaun keuzuran atau mati atas apa-apa sebab dalam tempoh perlindungan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

