Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menjadikan kutipan hasil RM1 bilion sebagai penanda aras yang harus dicapai setiap tahun.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kutipan hasil RM1 bilion ini bukan lagi menjadi sasaran Kerajaan Negeri seperti sebelumnya.
“Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan rasa syukur apabila kutipan hasil Kerajaan Negeri pada tahun ini telah melebihi RM1 bilion untuk tempoh tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2022.
“Sehingga berakhir 28 November 2024, kutipan hasil yang berjaya dicapai oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM1.150 bilion berbanding sasaran yang ditetapkan untuk tahun 2024 iaitu RM1.137 bilion atau 101.1 peratus.
“Kini, kutipan RM1 bilion bukan lagi satu angka yang kita sasarkan, tetapi ia merupakan satu penanda aras yang harus kita capai dan atasi setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan penerimaan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pahang bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 yang telah diumumkan oleh Ketua Audit Negara.
“Penerimaan sijil ini adalah satu pencapaian yang amat bermakna dan bukti nyata terhadap kecekapan, ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan negeri Pahang.
“Siri-siri kejayaan ini merupakan usaha bersama antara Kerajaan Negeri, semua Penjawat Awam, sektor swasta dan seluruh rakyat Pahang. Semoga semangat kerjasama ini terus kekal demi kemajuan negeri tercinta,” katanya. -PAHANGMEDIA

