Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 merupakan platform menentukan hala tuju dan perancangan pembangunan negeri demi kesejahteraan dan kemajuan rakyat dan Negeri Pahang.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, belanjawan ini bagi memastikan setiap aspek kemakmuran negeri ini dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 yang akan dibentangkan ini menjadi platform untuk kita menentukan hala tuju dan perancangan pembangunan negeri yang bakal memberikan impak besar kepada kesejahteraan dan kemajuan untuk rakyat dan Negeri Pahang.
“Sebagai sebuah kerajaan yang berteraskan kepentingan rakyat, belanjawan kali ini dibentangkan dengan iltizam yang tinggi untuk memastikan setiap aspek kemakmuran negeri dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Penyediaan belanjawan ini bukan sekadar pelan perbelanjaan, tetapi sebagai manifestasi kepada harapan rakyat yang menginginkan perubahan dan pembangunan yang lebih mampan serta inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, belanjawan dengan tema Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan ini merupakan ikhtiar Kerajaan Negeri yang telus dan menyeluruh.
“Sesungguhnya Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 adalah ikhtiar Kerajaan Negeri yang telus dan menyeluruh untuk meletakkan negeri Pahang ke suatu tahap yang lebih baik serta menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.
“Bersandarkan kepada perspektif ini, maka tema Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan telah dipilih menjadi teras utama kepada intipati keseluruhan Belanjawan Negeri Pahang untuk tahun 2025,” katanya. -PAHANGMEDIA

