Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan Kajian Kemungkinan Pembinaan Jalan dari Simpang Pelangai, Pahang ke Putrajaya, Wilayah Persekutuan dalam tempoh lima belas bulan bermula Ogos 2024 sehingga November 2025.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim berkata, kajian ini meneliti keperluan laluan alternatif baru dari Simpang Pelangai ke Putrajaya selepas Lebuhraya KL-Karak menjadi laluan penting bagi pengguna Pantai Timur ke Putrajaya.
“Pihak kementerian telah meluluskan sebanyak RM2.5 juta dalam Rolling Plan Keempat ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk menjalankan Kajian Kemungkinan Pembinaan Jalan dari Simpang Pelangai ke Putrajaya, Wilayah Persekutuan dan kajian ini telah pun bermula 12 Ogos 2024 dan akan tamat pada 13 November 2025, tempoh kajian selama 15 bulan.
“Kajian ini meneliti keperluan laluan alternatif baru dari Simpang Pelangai ke Putrajaya dan hasil kajian ini akan menentukan hala tuju pelaksanaan Pakej 6B, 6C dan 6D projek Lingkaran Tengah Utama (LTU).
“Kerajaan Negeri menyedari keperluan dan kepentingan pembinaan jalan baharu tersebut dan komited untuk mengangkat permohonan projek tersebut di dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. Tuan V Arumugam Veerappa Pillai pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Tras, YB Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berhubung masalah keluar-masuk pekebun-pekebun berhampiran laluan jalan baharu, beliau berkata, JKR akan membentangkan laporan Kajian Kemungkinan Pembinaan Jalan kepada Kerajaan Negeri selepas kajian selesai, sebelum melihat keperluan sama ada penduduk dan pengguna berhampiran memerlukan akses tambahan bagi kegunaan mereka.
“Dalam proses Kajian Kemungkinan oleh JKR, selepas siap kajian ini dia (JKR) akan bentang laporan dan Kerajaan Negeri akan minta JKR bentang dan lihat, ambil kira penduduk dan kampung sekiranya sama ada perlu akses tambahan, yang perlu kita akan bina akses tambahan, contohnya terowong di bawah lebuhraya supaya orang kampung boleh lalu tanpa keluar masuk tol dan sebagainya,” katanya. -PAHANGMEDIA

