Oleh : Ain Nadhirah Basha & S.Prathap
BENTONG, 27 NOVEMBER 2024 : Majlis Executive Talk Rancangan Pemajuan Negeri Pahang Tahun 2024 berupaya mencapai matlamat pembangunan yang seiring melibatkan semua agensi melalui konteks kawalan pembangunan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, program ini dapat mendalami pelbagai aspek dalam Rancangan Pemajuan Negeri Pahang termasuk keperluan mematuhi Akta 172 serta prosedur yang ditetapkan.
“Program seperti ini dapat mengumpulkan semua yang berkepentingan dalam meneraju kepimpinan negeri dalam konteks kawalan pembangunan demi mencapai matlamat pembangunan yang sama.

“Keseluruhannya, hari ini kita telah mendalami pelbagai aspek dalam Rancangan Pemajuan Negeri Pahang termasuk tentang keperluan dalam mematuhi Akta 172 serta prosedur yang telah ditetapkan.
“Ini adalah asas yang sangat penting untuk memastikan kita berada dalam landasan yang sama agar pembangunan yang dirancang adalah teratur dan mampan demi masa hadapan negeri yang kita sayangi,” katanya.
Beliau berkata semua perkongsian maklumat yang diperolehi akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan positif yang bermanfaat untuk masa depan negeri Pahang.
Beliau dalam ucapannya turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh warga kerja PLANMalaysia Pahang di atas dedikasi yang ditunjukkan dalam menjayakan penganjuran program ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Executive Talk Rancangan Pemajuan Negeri Pahang Tahun 2024 di Geo Resort dan Hotel Genting Highlands.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Pegawai Undang Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

