Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2024 : Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang dapat membantu memperkasakan kebajikan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Negeri Pahang.
Menurut Pengerusi PERKEP Kontinjen Pahang, Datin Sri Sumarnie Haris, sumbangan kewangan daripada Kerajaan Negeri Pahang ini dapat memberi manfaat kepada lebih 6,000 anggota polis di negeri ini.
“Sumbangan ini kita akan gunakan untuk kebajikan, keluarga polis Pahang melibatkan balu, anak yatim, dan yang sakit kerana ia merupakan aktiviti semasa pihak PERKEP.

“Kalau ikutkan kita ada lebih 6,000 orang polis di Pahang melibatkan IPK Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah di sebelas daerah.
“Saya mewakili Persatuan Keluarga Polis Pahang mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dan Kerajaan Negeri Pahang atas sumbangan ini,” katanya.
Sementara itu, menurut wakil daripada PERKEP Bridged Tenggara PGA, Inspektor Rosnina Mat, turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas sumbangan yang diberikan.
“Sumbangan ini kami akan bahagikan kepada lebih 2,500 anggota melibatkan batalion 7, batalion 8, dan batalion 9 dan akan diagihkan untuk semua ahli-ahli PERKEP yang memerlukan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang kerana telah memberikan bantuan ini dan akan kami gunakan sebaik mungkin,” katanya.
Menurut wakil daripada PERKEP Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Sarjan Nazora Mohd. Pauzi, sumbangan Kerajaan Negeri Pahang ini akan digunakan bagi kegunaan dan aktiviti pada tahun hadapan.
“Kami akan gunakan wang sumbangan ini dengan melakukan aktiviti yang akan dijalankan tahun hadapan kerana kami di ibu pejabat ada lima markas iaitu markas operasi dan markas taktikal.
“Markas operasi kami ada di Kuantan, dan Pengkalan Kubor, Kelantan. Markas taktikal ada di Kuala Terengganu, Tanjung Gemok, dan Tok Bali dengan keanggotaan kira-kira 250 orang.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberi sumbangan untuk PERKEP Pasukan Polis Marin Wilayah 3 sebanyak RM20,000,” katanya.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah menyerahkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) berjumlah RM60,000 kepada tiga wakil penerima iaitu Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KotaSAS. -PAHANGMEDIA

