Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 17 NOVEMBER 2024 : Program Madani Inspirasi Fest 2024 mencerminkan gabungan elemen komersial, sosial dan seni dalam suasana mempromosikan nilai-nilai madani.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program ini juga dapat melibatkan orang ramai untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti yang bukan sahaja memberi peluang ekonomi tetapi juga mendorong inspirasi komuniti.
“Program ini juga adalah untuk memperkukuhkan semangat masyarakat Madani dalam kehidupan seharian, dengan memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu-isu semasa melibatkan kanak-kanak dan wanita berkaitan Islam dan pembinaan masyarakat sejahtera,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Madani Inspirasi Fest 2024 pada Forum Perdana Hal Ehwal Islam Sempena Madani Inspirasi Fest 2024 di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Kuantan.

Hadir sama ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB. Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB. Datuk Seri Dr Noraini binti Ahmad.
Forum Perdana Ehwal Islam tersebut telah menampilkan penceramah terkenal antaranya ialah Timbalan Mufti Negeri Pahang, Sahibus Saadah Dato’ Haji Badli Shah Haji Alauddin dan Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin yang membincangkan tajuk Kanak-kanak dan Wanita Amanah Kita.
Jelasnya, penganjuran program seumpama ini juga dapat memperkukuhkan semangat masyarakat Madani dalam kehidupan seharian, dengan memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu-isu semasa melibatkan kanak-kanak dan wanita berkaitan Islam dan pembinaan masyarakat sejahtera.
“Dalam konteks negeri Pahang, perkara ini memang menjadi salah satu fokus utama dalam merangka dasar dan inisiatif untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak dan wanita. Contohnya, Negeri Pahang mempunyai Dasar dan Pelan Tindakan untuk meningkatkan pengupayaan wanita Negeri Pahang 2022-2026,” katanya. -PAHANGMEDIA

