Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Pahang telah memperuntukkan RM300,000 bagi merealisasikan Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-Ramai) di empat daerah sebagai inisiatif membantu meringankan beban kewangan pasangan yang berhasrat mendirikan rumahtangga.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif ini bertujuan membantu pasangan pengantin dari golongan tidak berkemampuan selepas melalui beberapa prosedur sebelum terpilih sebagai pasangan perkahwinan beramai-ramai di bawah Anggun Suri.

“Ini adalah insiatif Kerajaan Negeri kerana kita merasakan mungkin ada di kalangan mereka yang menghadapi kekangan kewangan jadi Kerajaan Negeri tampil ke hadapan untuk membuat Program Majils Perkahwinan Beramai-ramai dan dalam masa yang sama Kerajaan Negeri memberikan sumbangan sebanyak RM300,000 untuk mereka yang berkahwin kali pertama.
“Alhamdulillah ini adalah salah satu daripada apa yang kita telah janjikan dalam bentuk Bantuan Prihatin kita kembalikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-Ramai) Daerah Kuantan di Dewan Atabara, Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.
Hadir sama ialah Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin.
Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-Ramai) peringkat Daerah Kuantan membabitkan 10 pasangan terpilih dan akan dilaksanakan di tiga daerah lain iaitu Bera, Temerloh dan Bentong.
Menurut Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, setiap program dan inisiatif kerajaan yang baik akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa. -PAHANGMEDIA

