Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah program pendidikan dan kesedaran berkaitan agama Islam perlu dijalankan dari peringkat akar umbi bagi mengelakkan isu penyimpangan akidah di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah program kesedaran juga perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan setiap peringkat umur lebih peka terhadap bahana pegangan agama yang menyimpang.
“Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Mufti, serta pihak berkuasa terbabit perlu mengambil langkah proaktif. Pencegahan dan penguatkuasaan perlu diperkasakan untuk melindungi masyarakat daripada ajaran-ajaran yang menyesatkan.
“Di samping itu, kita perlu memperbanyakkan lagi program kesedaran secara menyeluruh melibatkan semua lapisan masyarakat, agar setiap individu, dari kanak-kanak sehingga golongan profesional untuk lebih peka terhadap bahana pegangan agama yang menyimpang ini.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya, maka program pendidikan dan kesedaran perlu bermula dari akar umbi,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Ke-193.
Paduka Baginda bertitah isu penyimpangan akidah merupakan ancaman yang serius dan tidak boleh di pandang remeh kerana ia bukan sahaja mencemari kesucian agama Islam malah boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam.
“Saya ingin menarik perhatian semua terhadap isu yang amat merisaukan kita pada masa ini iaitu pengamalan ajaran sesat di Negeri Pahang. Isu ini bukan hanya mencemari kesucian agama Islam malah berpotensi memecahbelahkan perpaduan umat.
“Penyimpangan akidah adalah ancaman serius yang tidak boleh di pandang remeh ibarat api dalam sekam, ia boleh marak tanpa disedari. Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah diutuskan bagi membawa ajaran Islam yang sebenar.
“Namun, dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan bermaharajalela menyebabkan umat mudah terjerumus dalam ajaran-ajaran yang menyeleweng,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

