Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2024 : “Jangan sama sekali menjadikan agama sebagai alat tunggangan dalam menghalalkan niat dan matlamat,” titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Paduka Baginda bertitah, alim ulama, asatizah, dan penceramah harus menjadi contoh yang baik, menunjukkan teladan dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman masyarakat.
“Jangan sama sekali menjadikan agama sebagai alat tunggangan dalam menghalalkan niat dan matlamat.
“Saya mengingatkan semua yang telah diberikan tauliah agar menggunakan peluang ini untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat dengan penuh kejujuran dan amanah.
“Ingatlah, penyalahgunaan tauliah akan membawa kesan serius bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada masyarakat keseluruhannya.
“Tauliah juga boleh ditarik sekiranya disalahgunakan bagi menjaga kesucian tujuan asal pentauliahan ini,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

