Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah supaya diwujudkan Mahkamah Utama Syariah di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah ia bagi memperkasakan peranan Mahkamah Syariah di Negeri Pahang demi keadilan dan kesejahteraan ummah.
“…saya turut ingin menyentuh mengenai usaha memperkasakan Mahkamah Syariah di Negeri Pahang, ini merupakan satu langkah yang penting demi keadilan dan kesejahteraan ummah.
“Pada hemat saya, sudah tiba masanya Mahkamah Syariah di negeri ini diperluaskan kepada empat peringkat. Selepas Mahkamah Rayuan Syariah, perlu diwujudkan satu peringkat tambahan yang dinamakan Mahkamah Utama Syariah.
“Mahkamah ini akan berfungsi mendengar rayuan dan semakan kes dari Mahkamah Rayuan Syariah. Langkah ini adalah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak, bagi memastikan keadilan ditegakkan dengan teliti dan berhemah,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah cadangan ini akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) selewatnya awal tahun hadapan selain menzahirkan harapan semua pihak supaya bekerjasama bagi memastikan ia dapat diwujudkan.
“Sehubungan itu, saya berharap Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri, dan Jabatan Kehakiman Syariah Pahang dapat bekerjasama erat.
“Persiapan dari sudut penggubalan dan pindaan undang-undang amat penting agar cadangan ini dapat dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan,” titah baginda.
Paduka Baginda turut bertitah supaya undang-undang syariah di negeri ini disemak dan ditambah baik secara berkala selari dan dilaksanakan secara konsisten.
“Selain itu, undang-undang syariah yang digunapakai di Pahang perlu di semak dan ditambahbaik secara berkala serta dilaksanakan dengan konsisten.
“Setiap pembaharuan perlu selari dengan perkembangan semasa dan berdaya menangani isu-isu terkini yang timbul dalam masyarakat,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Ke-193. -PAHANGMEDIA

