Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 29 OKTOBER 2024 : Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak : Kasih Kanak-kanak Peringkat Daerah Lipis 2024 dapat memberi panduan kepada kanak-kanak yang terlibat kes penderaan dan pengabaian.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, program yang dijalankan di seluruh negara ini diharap dapat mewujudkan persekitaran yang selamat bagi kanak-kanak.
“Program yang telah diatur pada hari ini melibatkan ceramah yang pastinya memberikan maklumat dan panduan kepada masyarakat dan kanak- kanak, terutamanya tindakan yang boleh diambil sekiranya kanak-kanak terdedah atau terlibat dalam kes penderaan dan pengabaian.

“Ekoran daripada pertambahan kes-kes penderaan dan pengabaian yang melibatkan kanak-kanak di negara kita sejak akhir-akhir ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil satu inisiatif dengan melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak : Kasih Kanak-Kanak ke seluruh Malaysia supaya dapat mewujudkan persekitaran yang selamat bagi kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak : Kasih Kanak-kanak Peringkat Daerah Lipis 2024 mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di SK Felda Sungai Koyan.
Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Lipis, YDH. Encik Hizani Ibrahim; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pra Sekolah dan Rendah), YDH. Puan Norhafizah Amat; Guru Besar Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Koyan, YDH. Encik Rohadi Kamaludin; dan Pegawai Perhubungan Sekolah, SK Felda Sungai Koyan, YDH. Sarjan Mejar Raja Zaidi Raja Ahmad.
Menurut beliau, program ini juga dapat membantu kanak-kanak memahami situasi yang memerlukan mereka mendapatkan bantuan selain pasukan yang ada mengenalpasti kanak-kanak yang ada di kawasan mereka.

“Terdapat tiga objektif utama bagi program ini iaitu meningkatkan kefahaman kanak-kanak berkenaan situasi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan.
“Memberi pendedahan kepada kanak-kanak berkenaan tindakan yang boleh diambil oleh ibu bapa, penjaga, kanak-kanak sendiri atau komuniti apabila terlibat dengan kes tersebut.
“Memberi peluang kepada Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) untuk mengenali kanak-kanak di kawasan masing-masing seterusnya dapat memainkan peranan dan tanggungjawab sebagaimana yang telah digariskan dalam Garis Panduan PPKK dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK),” katanya.
Menurut beliau, program advokasi ini dilaksanakan berikutan peningkatan jumlah ketara kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya.
“Pada tahun 2023 bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan meningkat secara drastik iaitu sebanyak 8,041 orang berbanding 6,770 orang pada tahun 2022 dan 6,144 orang kanak-kanak pada tahun 2021.
“Manakala pada Januari hingga Jun 2024 telah mencatatkan sejumlah 3,987 orang kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Ini merupakan peningkatan yang drastik dan sangat membimbangkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

