Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 29 OKTOBER 2024: Kerajaan Negeri Pahang komited dalam usaha membantu syarikat pemula yang berinovatif untuk melangkah lebih jauh dalam bidang teknologi dan ekonomi digital.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, justeru itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Pahang dan syarikat BEYOND4 telah mewujudkan Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA).
Katanya, PISA adalah salah satu komponen atau sistem sokongan untuk membantu syarikat pemula yang berinovatif untuk dikembangkan sekali gus menjana keuntungan yang lebih baik.

“Di Pahang ini, kita tidak boleh berharap kepada industri tradisi semata-mata..tidak boleh bergantung harap kepada perlombongan, getah, sawit.. Sampai bila? Sampai suatu ketika kita perlu melonjakkan keupayaan kita dalam bidang teknologi… dalam ekonomi digital.
“Kita tidak mahu kalah kepada negeri-negeri lain waima negara-negara lain. Sbb itulah kita wujudkan PISA ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pelancaran Sains dan Robotik Exploria 2024 bertempat di Berjaya Megamall Kuantan di sini hari ini.
Majlis turut dihadir Pengerusi Exploria Malaysia, Dato’ Majid Mohamad, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), Puan Nor Zahira Muhammad Azmi, Ketua Unit K-12 Jabatan Bakat Digital Dan Keusahawanan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Sdn Bhd, Puan Sofia Akmal Abu Bakar dan Pengarah Exploria Pahang, Dr Raihan Musa.

Tambahnya, beliau berharap agar lebih banyak syarikat seperti syarikat Exploria akan terus membangun di negeri ini sekali gus dapat melahirkan lebih banyak syarikat pemula berinovatif justeru dapat membuka pasaran baharu dan seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
YB. Dato’ Mohamad Nizar dalam pada itu merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada syarikat Exploria yang telah menjayakan program Sains dan Robotik Exploria 2024 berkenaan yang dilihat bukan sahaja menyediakan platform kepada anak-anak untuk menonjolkan kreativiti dan inovasi mereka, malah juga membuka ruang kepada mereka untuk meneroka dunia sains dan teknologi.
Syarikat Exploria juga menurut YB. Dato’ Mohamad Nizar, telah berjaya mewujudkan sebuah makerhub di dalam PPAP justeru berharap agar ibu bapa di negeri ini dapat memanfaatkan peluang terbabit dengan membawa anak-anak mereka meneroka dunia sains dan robotik di PPAP -PAHANGMEDIA

