Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 29 OKTOBER 2024 : Golongan pesara sentiasa bersemangat dan bersedia untuk menggunakan kepakaran, pengalaman serta kemahiran yang dimiliki bagi membantu pihak kerajaan dalam membangunkan Negeri Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, hasrat mereka ini perlu dihargai serta disokong kerana mereka merasakan sebagai sebahagian daripada pihak kerajaan.
“Saya lihat ada satu semangat dan kesedaran yang cukup tinggi di kalangan pesara untuk membantu pihak kerajaan kerana mereka merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada kerajaan.

“Dalam pertemuan ini saya menzahirkan hasrat supaya mereka membantu kerajaan khususnya membimbing, menasihati anak-anak muda yang di luar sana kerana mereka ada pengalaman bekerja sebelum ini, ada kepakaran tertentu, jadi rugi kalau kelebihan ini tidak dikongsikan dengan anak muda hari ini untuk mendepani pelbagai cabaran hebat dalam dunia hari ini.
“Mereka (pesara) bersedia untuk membantu pihak kerajaan dan saya sangat menghargai komitmen ini dan kepakaran, kelebihan, kemahiran dan pengalaman yang mereka ada itu adalah aset penting kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas 2024 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Raub, hari ini.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Yidris Abdullah, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Yahya Zainal Abidin dan Naib Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Abdul Hamid Abu Bakar.
Pada majlis sama turut disampaikan Anugerah ‘Jasamu Dikenang’ kepada penerima dari semua daerah dan ‘Masih Ada Yang Sayang’ kepada 11 penerima.
Jelasnya, semangat yang ada di kalangan pesara ini amat penting meskipun mereka tidak lagi berkhidmat kepada pihak kerajaan. -PAHANGMEDIA

