Oleh : Fansurina Abdullah
TEMERLOH, 18 OKTOBER 2024 : Kerajaan Pahang menerusi agensinya sangat prihatin terhadap keperluan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir yang ditenggelami air yang kini ditempatkan di lapan PPS di Daerah Temerloh.
Pengerusi JPKK Kampung Chatin selaku Penyelaras PPS SK Bukit Cermin, Encik Jamal Abdul Nasir Yahya berkata, kesemua mangsa banjir di PPS dijaga dengan baik daripada pelbagai aspek termasuklah kesihatan fizikal dan emosi ketika berhadapan dengan bencana yang dihadapi.

“Saya nak ucapkan terima kasih semua kepada agensi-agensi yang sentiasa prihatin untuk bagi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dan saya juga hendak mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang yang sudi turun di PPS untuk melihat sendiri dan berjumpa dengan mangsa-mangsa banjir supaya mereka merasa tidak dilupakan dalam keadaan situasi sekarang ini, terima kasihlah.
“Saya selaku yang menyelaras di pusat pemindahan banjir ini sangat berterima kasihlah kepada YAB Menteri Besar kerana sudi hadir untuk berjumpa dengan mangsa-mangsa banjir, terima kasih juga kepada agensi yang terlibat seperti RELA, Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis, JKR yang turut ambil cakna keperluan di pusat pemindahan banjir dan Kementerian Kesihatan yang hari-hari datang untuk melihat kesihatan mangsa-mangsa banjir ini, saya rasa mangsa-mangsa banjir di PPS ini tidak menghadapi sebarang masalah langsung,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa banjir di PPS SK Bukit Cermin, Hajah Rahmah Abdullah juga sangat berterima kasih dan bersyukur kerana begitu selesa tinggal di PPS bersama enam ahli keluarga lain.

“Saya sangat bersyukur dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada MB Tok Wan, MB Negeri Pahang kerana menyumbang berbagai-bagai kemudahan selama saya duduk di situ (PPS SK Bukit Cermin) saya dapati memang satu sumbangan yang sangat bagus, tempat tidur disediakan, toto (selimut tebal) dia bagi, selimut, tuala, mandian, makan setiap hari ayam, di rumah pun kita tidak makan ayam setiap hari, jadi kami di situ sangat selesa,” katanya.
Bagi Encik Burhanuddin Ishak pula, segala kelengkapan dan kemudahan di PPS Bukit Cermin sangat selesa dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Dia yang berasal dari Kampung Chatin, Temerloh tinggal di PPS itu selepas dia bersama isteri dan seorang anaknya terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka ditenggelami air dan sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sangat prihatin.
“Kemudahan di PPS tu serba lengkap, semua ada jadi kita pun seronoklah duduk di PPS, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu kami mangsa banjir, terima kasihlah kepada MB,” katanya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail semalam telah turun melawat mangsa-mangsa banjir di PPS SK Chatin di Temerloh selepas daerah itu dilanda banjir sejak Ahad lepas.
Sehingga hari ini, seramai 1,666 mangsa daripada 504 keluarga telah ditempatkan di lapan PPS di Temerloh. -PAHANGMEDIA

