Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Unit Menteri Besar
TEMERLOH, 17 OKTOBER 2024 : Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir di Pahang perlu memaklumkan kepada Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi tujuan penyelarasan bantuan dan tugas.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertindihan ketika memberikan bantuan.

“Kita bukan mahu susahkan NGO tetapi ia bagi memudahkan pengaturan bantuan dan tugas dalam membantu mangsa banjir.
“Jika tidak nanti akan berlaku pertindihan, kita sememangnya mengalu-alukan bantuan NGO…kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang dan SK Mentakab di Temerloh, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Pahang amat berbesar hati kerana menerima maklum balas positif daripada kebanyakan mangsa banjir di negeri ini terhadap layanan yang diterima ketika berada di PPS.
“Mereka menyatakan rasa puas hati kerana layanan yang diterima sangat baik terutama makan minum dan peralatan, dari segi PPS juga kita tidak mendapat sebarang rungutan,” katanya.
“Dalam pada itu saya menasihatkan orang ramai dapat patuh arahan pihak berkuasa, jika diminta pindah segeralah berpindah dan jangan balik sebelum diarahkan balik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum bercadang untuk memindahkan kampung yang sering dilanda banjir ke lokasi lain kerana ia memerlukan kajian teliti dan proses mencari lokasi sesuai mengambil tempoh yang panjang. -PAHANGMEDIA

