Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 17 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah memulakan insentif Projek Penghasilan Baka Ternakan Premium Lembu Wagyu Pahang bagi menggalakkan penglibatan penternak sedia ada di negeri ini dalam pengeluaran daging bernilai tinggi khususnya wagyu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini bagi membantu kemampanan projek penternakan lembu melalui peningkatan margin keuntungan yang lebih tinggi.
“Kita telah mulakan Projek Pahang Wagyu dan boleh katakan telah direalisasikan, kita akan kembangkan lagi projek ini kerana ini adalah yang pertama di negeri kita. Lokasi projek adalah di Bukit Kajang (Raub), Muadzam Shah (Rompin) dan Tanjung Gahai (Lipis).

“Dari segi penglibatan penternak pula kita bagi mereka latihan serta ada kepakaran yang kita jemput termasuk pihak veterinar untuk memberi tunjuk ajar secara teknikal dan lain-lain.
“Ramai juga penternak yang berminat dan kita beritahu pada mereka kalau mereka pelihara lembu KK (Kedah-Kelantan) kadang tak sampai RM5,000 seekor tapi dengan lembu wagyu ni hasilnya berganda dan pasti mereka memilih cara untuk memelihara lembu wagyu, masa dan tempoh ternakan juga lebih kurang sama,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian Sidang Penternak, Penyerahan Insentif Wagyu dan Insentif Penternakan Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Raub, hari ini.
Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Pahang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YH. Dato’ Abd Aziz Kiram, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, YBrs Dr. Kamaliah Ghazali dan Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohd Khuzaidi Harun.

Pada sidang itu, seramai 200 penternak seluruh Pahang telah hadir bagi mendengar taklimat berhubung penternakan lembu wagyu.
Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, untuk itu kerajaan menetapkan satu penanda aras bagi kalangan penternak agar setanding di peringkat antarabangsa.
“Selain daripada keterjaminan makanan, agenda kita tadi ialah memperkasa penternak sebab memperkasa penternak ini adalah satu daripada objektif juga untuk kita pastikan penternak-penternak kita di Pahang ini mampu untuk dilonjakkan ke aras yang lebih tinggi.
“Salah satu daripada perkara yang dilihat ialah wagyu ini kerana lembu wagyu ini ialah lembu premium jadi pengurusan untuk lembu premium ini memerlukan disiplin yang tinggi, jadi objektif kita suatu hari nanti kita akan lihat penternak Pahang ini akan dapat dijadikan sebagai penternak yang bertaraf dunia, kita kena ada benchmarking,” katanya.
Kerajaan Pahang melaksanakan penternakan lembu wagyu sebagai langkah memperkasakan penternak di Pahang agar setanding antarabangsa. – PAHANGMEDIA

