Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 17 OKTOBER 2024 : Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan semula pembinaan hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU).
YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil perbincangan ketika perjumpaan bersama YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim memperlihatkan perkembangan positif berkaitan pembinaan infrastruktur berkenaan.
“Perkembangan (pembinaan R&R) nampak positif kerana mana mungkin jajaran hampir 300 kilometer tidak ada R&R.
“Cadangan tapak semua kita sudah ada termasuk lokasi, jika dapat duit nanti kita akan mulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian Sidang Penternak, Penyerahan Insentif Wagyu dan Insentif Penternakan Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Raub, hari ini.
Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Pahang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YH. Dato’ Abd Aziz Kiram, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, YBrs Dr. Kamaliah Ghazali dan Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohd Khuzaidi Harun.
Pada sidang itu, seramai 200 penternak seluruh Pahang telah hadir bagi mendengar taklimat berhubung penternakan lembu wagyu.
Kerajaan Pahang sangat komited dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan penternakan lembu wagyu bagi memperkenalkan produk premium menerusi komoditi pengeluaran daging di Pahang. – PAHANGMEDIA

