Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 17 OKTOBER 2024 : Penternak di negeri ini bersedia menyahut cabaran ternakan lembu wagyu yang dicetuskan oleh Kerajaan Pahang.
Seorang penternak dari Bentong, Encik Zamri Salim, 56, berkata, dia sangat teruja untuk mencuba ternakan lembu wagyu selepas 20 tahun berpengalaman menternak kerbau, lembu dan kambing.

“Saya jadi teruja dan seronoklah sebab dia punya (skop) tu besar, kalau ada rezeki nak mencuba juga. Terima kasihlah atas usaha kerajaan ini membantu penternak-penternak yang ada,” katanya.
Sementara itu, Puan Salmee Suhana Ab Rahim, 42, pula sangat gembira dan terharu dengan sokongan Kerajaan Pahang dalam menyediakan peluang dan ruang kepada penternak tempatan khususnya di Negeri Pahang untuk mengembangkan kemahiran dalam sektor ternakan ke tahap yang lebih tinggi.

“InsyaAllah kalau ada rezeki lebih memang nak cuba (ternak) mana tau, ingin berjaya lagi, ingin tonjol kemampuan kita, orang Melayu pun boleh, orang kampung pun boleh (ternak wagyu) untuk mencuba sesuatu yang lain,” katanya.
Manakala bagi Encik Sangaran Siram, 50, pula turut berminat dan tertarik untuk menceburkan diri dalam penternakan wagyu di ladang ternakannya di Kampung Kechau di Lipis.
Dia yang berpengalaman selama 15 tahun, mengakui terdapat perbezaan dan cabaran dalam ternakan lembu wagyu.

“Bezanya tempat kita kecil, tempat tidak sesuai lagi, lagi pun lembu macam ni (wagyu) sebab cuaca panas sejuk, takut bila bawa masuk ada alahan. Terima kasih Exco Pahang dan Menteri Besar Pahang kerana membuka peluang,” katanya.
Kesemua 200 penternak telah hadir mendengar taklimat pada Program Sidang Penternak, Penyerahan Insentif Wagyu dan Insentif Penternakan Negeri Pahang Darul Makmur yang diadakan di Dewan Jubli Perak Raub, hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Pahang, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, YBrs Dr. Kamaliah Ghazali dan Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohd Khuzaidi Harun. – PAHANGMEDIA

