Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER 2024 : Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Negeri Pahang disifatkan satu program terbaik bagi menyantuni bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pernah menabur khidmat di Pahang.
Menurut Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), YH. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, beliau turut mengucapkan tahniah diatas inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pahang ini.
“Saya amat tertarik dengan apa yang dibuat oleh Dato’ Sri Mohd Sharkar, kita ucapkan tahniah kerana inilah pertama kali Yang Dipertua Speaker menyantuni bekas-bekas wakil rakyat yang dalam keadaan berbagai-bagai.
“Ada antaranya yang sakit, ada yang terlantar, ada yang sihat, tapi inisiatif yang diambil ini adalah satu kerja yang terbaik,” katanya yang pernah menjadi ADUN Mentakab pada 1982 dan ADUN Bera pada 1986.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin di Pejabat MUBARAK Malaysia di sini.
Beliau turut memberi cadangan kepada Speaker Dewan Negeri Pahang untuk membukukan program ziarah ini sebagai tanda kenangan memandangkan ada di antara mereka yang telah ditemui sepanjang program ini dijalankan telah pun meninggal dunia.
Beliau dalam pertemuan ini turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan YAB. Menteri Besar Pahang di atas keprihatinan yang ditunjukkan kepada bekas ADUN Pahang.

Sementara itu, bagi bekas ADUN Sabai pada 1999, YH Dato’ Davendran a/l Murthy, program ziarah kasih ini merupakan satu platform mengeratkan hubungan di antara bekas ADUN dan Kerajaan Negeri Pahang.
“Bila kita dah pencen, nak berjumpa rakan-rakan, bertegur sapa, bertanya khabar, bila kebetulan berjumpa sahaja. Tapi dengan inisiatif yang dibuat Yang Dipertua Speaker Dewan Negeri Pahang ini, kita rasa seronok dan terharu.
“Dan dapat tahu khabar rakan-rakan bekas wakil rakyat yang telah dilawati, saya rasa seronok. Tambah pula hari ini Dato’ Sri Sharkar datang bawa sumbangan dan hamper sempena perayaan Deepavali, saya sangat berterima kasih,” katanya. -PAHANGMEDIA

