Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
PUTRAJAYA, 21 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melalui UCYP University telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Alliance Steel (M) Sdn.Bhd. (ASSB) bagi industri keluli dan pembinaan.
Pertukaran memorandum ini disempurnakan oleh Naib Canselor UCYP University, YH. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain bersama Ketua Pegawai Teknologi Alliance Steel (M) Sdn. Bhd., Encik Steve Hu.
Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin di Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2024 di Hotel The Everly.
Turut menyaksikan pertukaran berkenaan, Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education San Bhd., YH Dato’ Sri Hajah Shahaniza
Shamsuddin; Pengerusi, Lembaga Pengelola UCYP University, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; Timbalan
Pengurus Pentadbiran Alliance Steel, Encik Li Zhaoyu; Timbalan Pengurus Sumber Manusia dan Pengurusan Perniagaan, Encik Chen Xhiangjie; dan Timbalan Pengurus Besar Sumber Manusia dan Pengurusan, Encik Huang Zhilin.
Kerjasama strategik ini merupakan program bagi memperkuhkan kedudukan UCYP University sebagai institusi pendidikan yang proaktif dalam melahirkan generasi muda dengan kemahiran teknikal yang berkualiti tinggi.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education San Bhd., YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, program bagi melatih anak-anak muda Pahang bagi menjadi jurukimpal profesional ini melibatkan 25 pelajar bagi satu sesi pengajian.
“Jadi kita memastikan setahun dalam 25 orang warga Pahang yang akan mendapat latihan daripada UCYP University dan mereka ini ada jaminan kerjaya, maknanya mereka ini dah confirm akan dapat kerja di Alliance Steel Sdn. Bhd.
“Bukan setakat dijamin kerja tetapi kebajikan mereka juga terjamin. Mereka akan ada penempatan, KWSP, SOCSO, yang kita akan pastikan ada selain protective gear dia. Apa sahaja keperluan yang berkaitan dengan mereka akan kita jaga bukan setakat kita bagi kerja.
“Gaji mereka juga dalam lingkungan RM2,200 sehingga RM4,000 sebulan. Syaratnya latihan, yang penting mereka minat, dan melalui permohonan melalui UCYP, graduate course dan mereka akan di beri kontrak setahun. Dan kita akan tengok balik prestasi dia,” katanya.
Setiap pelajar juga akan dibiayai sepenuhnya kos latihan sebanyak RM10,000 seorang ketika melanjutkan pengajian oleh Yayasan Pahang bagi memastikan kejayaan program ini.
Menurut YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza, program yang telah bermula pada bulan ini juga dapat memberi keyakinan kepada para pelabur yang ingin melabur di negeri ini apabila Pahang menyediakan tenaga pekerja mahir daripada kalangan anak tempatan ini.
Beliau berkata bagi mereka yang berminat boleh menghantar borang bila-bila masa sahaja kepada UCYP bagi tujuan semakan dan panggilan bagi fasa berikutnya. -PAHANGMEDIA

