Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
BERA, 20 SEPTEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar pewartaan tanah industri di Daerah Bera dapat dipercepatkan.
Baginda bertitah, proses perlu dipercepatkan kerana tanah-tahan industri ini akan dapat memberikan hasil kepada Daerah Bera seterusnya dapat dinikmati oleh rakyat daerah itu.
“Cadangan-cadangan untuk mengadakan tanah-tanah industri, saya harap diwartakan secepat mungkin dan kalau boleh biarlah lebih lagi kerana tanah-tanah industri inilah yang akan memberikan hasil kepada majlis daerah, majlis perbandaran daerah ini.
“Dan lagi cepat kita dapat maju, tanah industri ini, lagi cepat hasil akan bertambah, InsyaaAllah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli ke Pejabat Daerah dan Tanah Bera bagi persembahan taklimat pembangunan daerah, hari ini.
Paduka Baginda tiba dengan diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zukifli Yaacob, Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Ahmad Nasim Mohd Sidek, Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaacob, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man.
Persembahan taklimat pembangunan daerah oleh YH. Dato’ Ahmad Nasim merupakan salah satu agenda dalam lawatan kerja Paduka Baginda ke daerah Bera bermula semalam sehingga hari ini.
Antara taklimat yang dipersembahkan ialah perwartaan tanah industri di Bera, pembangunan sektor pelancongan dan perumahan rakyat.
Paduka Baginda kemudian berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Fikri dan mengurniakan sumbangan kepada golongan asnaf sebelum berangkat pulang. – PAHANGMEDIA

