Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 20 SEPTEMBER 2024 : Seramai 56 atlet Pahang sedia berentap pada para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang akan berlangsung pada 22 hingga 28 September ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kesemua 104 kontinjen termasuklah atlet, jurulatih, pengurus dan pembimbing telah bersiap sedia untuk membawa bendera Pahang ke Sarawak.
“104 orang termasuk jurulatih, pengurus dan pembimbing sebab ada acara tertentu atlet kita mengharapkan (pembimbing) contoh lawn ball, penglihatan ni dia mengharapkan pembimbing di sebelah untuk guide dia, jadi termasuk itu ada 104 orang yang akan ke para SUKMA membawa bendera Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kem Akhir dan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pahang Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Kompleks Rakan Muda Raub di Raub.
Hadir sama ialah Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, Ketua Kontinjen Pahang, YB. Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin, Pengerusi Persatuan Orang Kurang Upaya Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Zaili Haji Besar, Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohd Khuzaidi Harun, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, YBrs Encik Mohamad Suhaizan Selamat dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Raub, YBrs Encik Sopian Tukiman.
Pada Para SUKMA kali ini, Pahang menyertai sebanyak sembilan acara daripada 10 yang dipertandingkan termasuklah boling padang, memanah, renang, catur, olahraga, boccia, angkat berat, badminton dan boling tenpin manakala satu acara yang tidak disertai ialah pingpong.
Justeru, Kerajaan Pahang berhasrat agar Kontinjen Pahang dapat berusaha memperoleh sekurang-kurangnya 10 emas sebagai pencapaian terbaik.

Sementara itu, YB. Dato’ Sabariah berkata, kebanyakan atlet berhadapan cabaran bagi mereka yang berhadapan kekurangan fizikal namun berjaya mengharungi segala latihan dan kini bersedia berentap pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024 dengan membawa harapan yang tinggi.
“Harapan saya kita akan cuba memecahkan rekod mengutip sebanyak mungkin emas untuk Negeri Pahang,” katanya.
Jelasnya, Kerajaan Pahang akan sentiasa memberikan galakan dan sokongan moral kepada para atlet agar mampu mengumpulkan pingat emas sebanyak mungkin.
Pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024 kali ini akan disertai oleh 15 kontinjen dari seluruh negara dengan penyertaan seramai 2,111 atlet yang berentap dalam 10 acara. -PAHANGMEDIA

