Oleh: Norhafizan Zulkifli
PEKAN, 20 SEPTERMBER 2024: Kerajaan Negeri Pahang komited dalam usaha membanteras spesis ikan asing yang memberi impak negatif terhadap ekosistem sungai negeri ini sekali gus menjejaskan pembangunan ekonomi setempat dan sekuriti makanan.
Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli ketika membacakan teks ucapan mewakili Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, bagi melaksanakan perkara itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM110,000 untuk pelaksanaan program kesedaran dan penganjuran pertandingan memburu spesis ikan asing sebagaimana dibentangkan dalam ucapan Belanjawan 2024 oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini.
“Salah satu usaha Kerajaan Negeri yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan adalah dengan menganjurkan program memburu ikan baung ekor merah ini di mana ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ancaman spesis ikan asing ini.

“Kemungkinan akan ada lagi beberapa tindakan yang akan dilakukan oleh Jabatan Perikanan terhadap ikan asing ini,” katanya dalam ucapan perasmian Program Kesedaran Spesis Ikan Asing dan Pertandingan Moh! Tangkap Baung Ekor Merah Daerah Pekan bertempat di Ancasa Royale, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Encik Abdullah Jaafar dan Ketua Cawangan Sumber Perikanan Tangkapan Negeri Pahang, Encik Mohamad Hafiz Mushidi Shakori.
Sementara itu katanya, pahang mencatatkan pendaratan Perikanan Darat kedua tertinggi negara dengan sebanyak 1,920 metrik tan ikan sungai bernilai RM53.5 juta dihasilkan pada tahun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan nilai sebanyak 45.5 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM36.8 juta.
Tambahnya lagi, sokongan masyarakat setempat termasuk nelayan darat juga penting dalam membantu mengawal penularan ikan asing dari terus membiak dalam sungai utama seterusnya mengundang berlakunya kepupusan ikan tempatan.
“Jabatan Perikanan dalam masa sama juga secara berterusan melaksanakan program pelepasan benih ikan ke perairan umum secara berkala dan berterusan.
“Dalam tempoh 14 tahun, sebanyak 17.6 juta pelbagai benih ikan telah dilepaskan di negeri ini di mana pada tahun ini sahaja setakat September ini, sebanyak 1.6 juta benih ikan dilepaskan secara berperingkat,”ujarnya.
Dalam pada itu, seramai 200 peserta dari daerah ini telah mendaftarkan diri bagi menyertai pertandingan Moh! Tangkap Baung Ekor Merah Daerah Pekan yang berlangsung mulai hari ini dan berakhir esok. – PAHANGMEDIA

