Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
SERDANG, 19 SEPTEMBER 2024 : Promosi makanan dan buah khas dari Negeri Pahang antara faktor yang menarik 90,000 pengunjung ke Pavilion Pahang pada pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata penambahbaikan pada Pavilion Pahang juga turut memainkan faktor peningkatan pengunjung berbanding dua tahun lepas.
“Kali ini kita rasa begitu teruja kerana kehadiran orang ramai yang berkunjung ke Pavilion Pahang ini telah mencecah 90,000 berbanding dengan dua tahun yang lalu iaitu seramai 62,000.
“Dan saya fikir kita ada faktor-faktor penarik yang menyebabkan mereka sanggup datang kerana kita ada banyak kelebihan dan keistimewaannya. Terutama kalau dari segi buahnya kita ada Musang King contohnya. Daripada segi makanannya kita ada patin tempoyak, kita ada daging wagyu, dan ini menyebabkan ramai pengunjung datang. Dan ini sekaligus kita mempromosikan apa yang ada di Negeri Pahang kepada orang ramai.
“…dan kita ada buat penambahbaikan sedikit supaya tempatnya lebih menarik dan daripada segi reka bentuknya kita mempamerkan replika Musang King. Itu mungkin salah satu sebab,” katanya.
Tambah beliau harga buah durian yang dijual pada pameran ini juga lebih murah berbanding harga di pasaran luar turut menarik minat pengunjung.
“Dan saya dapati harganya tadi masa saya bertanya kepada mereka, harganya berbanding di luar, di sini lebih murah. Dan mungkin itu juga faktor penarik kepada pengunjung ke Pavilion Pahang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pavilion Pahang pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin. -PAHANGMEDIA

