Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 SEPTEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan kebimbangan mengenai masa hadapan para pelajar institusi pendidikan agama Islam di negeri ini sekiranya mereka tidak mendapat pendidikan selengkapnya.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dalam titah turut meminta para pengusaha dan pengetua institusi pendidikan ini berfikir lebih jauh berkenaan hal ini.
“Tetapi persoalan yang timbul, direnung, dan perlu dijawab oleh kita ialah masa hadapan mereka. Kita perlu berfikir lebih jauh daripada objektif penubuhan sesebuah madrasah atau maahad tahfiz dan pondok.
“Apakah masa hadapan anak-anak kita? Adakah peluang mereka bekerja? Adakah ruang mereka bekerja dalam bidang apa? Bukan hanya sekadar kita berdoa supaya dapat menghafaz Al-Quran semata-mata.
“Itulah yang perlu kita tanya diri kita sebagai pengusaha dan sebagai pengetua. Dan saya juga bimbang kalau kita tidak memikir tentang kesudahan, saya bimbang nanti mereka beralih kepada ilmu-ilmu atau elemen-elemen negatif. Mungkin akan memudaratkan diri sendiri, memudaratkan keluarga, dan sekitarnya,” titah baginda.
Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan harapan supaya sistem pendidikan di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dijadikan penanda aras bagi semua maahad tahfiz, madrasah, dan pondok di negeri ini.
“Selain itu saya harapkan sistem kurikulum di madrasah, pusat tahfiz, dan pondok ini dapat dibincang semula, dapat disatukan dengan apa yang sudah dilaksana oleh pihak Maahad Tahfiz Negeri Pahang.
“Kita semua tahu pencapaian MTNP begitu cemerlang sekali dan adalah satu kerugian kalau mana-mana madrasah atau pun pondok dan tahfiz tidak seiring dengan pencapaian yang dinikmati oleh pihak MTNP.
“MTNP perlu menjadi satu benchmark atau contoh atau aras pencapaian bagi setiap kita di sini supaya kita dapat meningkatkan pencapaian,” titah baginda.
Baginda dalam titah turut memaklumkan cadangan setiap pelajar di institusi agama ini perlu memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya mereka dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Sebab itu ada cadangan supaya setiap daripada kita di pondok-pondok ini, madrasah dan maahad tahfiz perlu ada kelulusan SPM supaya kita dapat meneruskn karier mereka sebagai penuntut menuju ke menara gading,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah, dan Pondok Negeri Pahang Darul Makmur di Hotel Grand Darul Makmur. -PAHANGMEDIA

