Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
BERA, 19 SEPTEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) yang diadakan di Kampung Paya Serai, Kuala Bera di Bera, hari ini.
Pada majlis itu, baginda telah mengurniakan 30 kunci rumah Ru’RASA kepada ketua keluarga di mana 16 penerima bagi daerah Bera manakala 14 penerima dari Bentong.

Pada majlis itu, baginda turut bertitah agar projek pembinaan rumah Ru’RASA ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang agar dapat memberikan banyak manfaat kepada rakyat.
“InsyaaAllah kita akan teruskan projek ini ke fasa-fasa yang berterusan selepas selesai fasa kedua dan fasa ketiga, sebab itu saya minta juga daripada pihak kerajaan yang dikendalikan oleh pihak Pejabat SUK dan Unit Perumahan (LPHP) kalau boleh kita percepatkan lagi, kalau boleh birokrasi itu dipercepatkan, disiapkan cepat itu lagi menguntungkan kita InsyaaAllah, menguntungkan kepada rakyat di sini, kalau kita lambat mungkin harga naik ke dan sebagainya,” katanya.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) yang diadakan di Kampung Paya Serai, Kuala Bera di Bera.
Turut mengiringi baginda ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, wakil Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Aamer Alteneiji, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Islanizam A. Halim dan ketua-ketua jabatan.
Baginda bertitah, projek pembinaan Ru’RASA fasa 1 membabitkan sebanyak 160 unit rumah dan telah diduduki penduduk miskin dan miskin tegar di setiap daerah di negeri ini.
Pelaksanaan Ru ‘RASA dengan kerjasama UAE di daerah ini melibatkan rumah setingkat dan bertiang masing-masing bernilai RM75,000 dan RM100,000 yang dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dan dapur.
Pada titah itu, baginda turut menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada Presiden UAE Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan atas bantuan menyediakan kediaman selesa buat mereka yang kurang berkemampuan. -PAHANGMEDIA

