Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 SEPTEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menzahirkan harapan supaya semua institusi pendidikan agama Islam di negeri ini berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah ini bagi memudahkan kerjasama bagi membangunkan dan memperbetulkan keadaan institusi berkenaan.
“Saya dimaklum hari ini sahaja yang hadir 183 pengetua dan pengusaha pondok, madrasah, dan maahad tahfiz. Saya dimaklum di Pahang ada 189, hanya 134 yang berdaftar dan 55 belum berdaftar dan dalam proses untuk mendaftar.
“Saya harap semua dapat berdaftar di bawah naungan Majlis Agama Islam, mudah-mudahan ini dapat kita bekerjasama untuk membangunkan, betulkan keadaan sekarang,” titah baginda.
Paduka Baginda dalam titah turut meminta institusi pendidikan ini lebih berhati-hati dalam menjalankan operasi dengan memperbetulkan kelemahan yang ada.
“Saya tak dimaklum berapa ramai anak-anak yang bawah tanggungan 189 (institusi). Kalau saya kira tolak lebih kurang 30 ke 40 orang satu madrasah atau pondok, mungkinlah dekat 6,000 ke 8,000 (pelajar). Ini satu angka yang besar dan mungkin akan ditambahkan lagi.
“Jadi kita perlu hati-hati. Ini melibatkan Akta Kanak-kanak. Kita tak mahu adanya antara kita dalam 189 akan dituduh berbagai-bagai dan sudah tentu akan dipersalahkan berbagai-bagai.
“Saya harap ini tidak akan berlaku dan balik nanti, kita renung semula dan tengoklah macam mana, kita betulkan kelemahan-kelemahan yang ada sekarang,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah berkenaan penubuhan Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) yang diharap menjadi pemangkin memartabatkan Pahang sebagai pusat rujukan ilmu dan peradaban Islam yang dikenali dunia.
“Say ingin memaklum saya telah menitahkan kepada MUIP dan beri titah kepada anakanda saya Tengku Panglima Raja untuk tubuh satu Institut Ilmu Darul Makmur yang mana boleh jadi satu badan yang boleh kita menjemput pakar-pakar agama profesional, mengkaji, menyelidik, mengurus perjalanan semua institusi-institusi pembelajaran supaya ini dapat dikelola dengan sebaik mungkin.
“InsyaAllah bila tertubuhnya satu institut ilmu ini, ia sebagai pusat ilmu dan peradaban bagi Negeri Pahang dan saya percaya ia akan menjadi pemangkin bagi memartabatkan Negeri Pahang sebagai pusat rujukan ilmu dan peradaban Islam yang dikenali diseluruh dunia pada abad ke 21 ini,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah, dan Pondok Negeri Pahang Darul Makmur di Hotel Grand Darul Makmur.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad -PAHANGMEDIA

