Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang berharap para pelajar tajaan negeri ini akan kembali menabur bakti dan berkongsi ilmu kepada rakyat di negeri ini setelah tamat pengajian.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, tenaga para pelajar ini diperlukan di institusi pendidikan di Pahang.
“Yang pertama sekali sudah tentu mereka pergi untuk belajar dan mereka perlu menimba ilmu pengetahuan sebanyak mungkin dan bila balik nanti apa yang mereka perolehi semasa mereka belajar, mereka boleh taburkan semula di Negeri Pahang khasnya.
“Jadi mereka boleh lebarkan ilmu pengetahuan mereka untuk anak-anak di Pahang yang sedang belajar. Kita sekarang ada banyak, kita ada maahad tahfiz, tadika tahfiz, UniPSAS, dan tenaga mereka diperlukan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan SUK Blok C.
Menurut beliau, kira-kira RM1.4 juta diperuntukan bagi bantuan kepada hampir 80 penerima termasuk 20 pelajar yang akan berangkat ke Universiti Yarmouk, Jordan hari ini.
“Ini adalah program rutin, bukan satu perkara baharu iaitu kita buat Bantuan Prihatin Pahang (BPP), kita bagi bantuan kepada mereka yang memerlukan berdasarkan permohonan.
“Hari ini sahaja lebih kurang RM1.4 juta kita bagi bantuan. Di samping itu kita ada juga beri bantuan kepada anak-anak yang dapat melanjutkan pelajaran ke Jordan sebanyak USD 1,000.
“Kita bagi untuk mereka membeli barangan keperluan untuk mereka belajar, barang-barang asas dan sebagainya. Dan ini menunjukkan bahawa komitmen kita pada anak-anak kita yang ingin belajar dan komitmen kita kepada mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Kesemua pelajar melibatkan tiga lelaki dan 17 perempuan akan berangkat ke Jordan pada 15 September ini untuk meneruskan pengajian Tahun 3 dan 4 di mana mereka sebelum ini menyambung pengajian di bawah program empat tahun pengajian iaitu dua tahun di Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan dua tahun pengajian lagi di Universiti Yarmouk, Jordan.
Sejak 2005, Yayasan Pahang telah menaja 436 anak Pahang untuk program ini dengan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM34 juta di mana setiap pelajar menerima penajaan pinjaman berjumlah RM94,000 seorang bagi tempoh empat tahun pengajian.-PAHANGMEDIA

