Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : Tomahan pembangkang mengatakan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bersifat politik merupakan sudut pandangan mereka yang berbeza dengan sudut pandangan Kerajaan Negeri.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pihak pembangkang berhak melihat perkara ini dari sudut pandangan mereka.
“Pembangkang memanglah dia akan cakap macam tu. Dia tengok daripada sudut lain, kita tengok daripada sudut lain.
“Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita melihat daripada sudut untuk membantu rakyat. Kalau dia nak kata daripada sudut politik, itu hak dia, itu tafsiran dia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan SUK Blok C.
Beliau turut menafikan dakwaan yang dilontarkan oleh pihak pembangkang kerana lantikan ini dibuat bagi menyelaras perkongsian maklumat kepada penduduk di negeri ini.
“Tetapi itu adalah tidak benar sama sekali. Kita melihat sebab Pahang ini besar dan luas, penduduknya makin bertambah, isu-isu semasa semakin bertambah, dan kita Kerajaan Negeri Pahang buat banyak dasar dan perkara-perkara yang baik supaya mereka yang dilantik ini boleh menyalurkan kepada rakyat.
“Tujuan kita adalah untuk membantu Kerajaan Negeri. Membantu dalam maksud, mereka boleh menerangkan dasar-dasar Kerajaan Negeri dan dalam masa yang sama mereka boleh melihat, sebab mereka ini tidak ada kawasan, jadi mereka boleh lihat kawasan-kawasan sebab Pahang ini luas.
“Jadi di mana perlu, mereka boleh menyalurkan maklumat tersebut atas kapasiti Yang Berhormat yang di lantik kepada Kerajaan Negeri dan mereka bertanggungjawab terus kepada saya. Dia tidak lain dan tidak lebih adalah semata-mata untuk melihat permasalahan rakyat dan menerangkan dasar-dasar Kerajaan Negeri kepada rakyat,” katanya.
Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini meyaksikan lima ADUN lantikan telah mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Upacara ini dimulakan oleh YH. Dato’ Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri, diikuti YH. Dato’ Wong Tat Chee, Encik Haris Salleh Hamzah, Encik Mohd Fadzli Mohd Ramly, dan Encik Rizal Jamin.-PAHANGMEDIA

