Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh berkaitan kes keganasan fizikal melibatkan kerabat Pahang yang tular di media.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam satu kenyataan media hari ini menzahirkan keseriusan baginda berkenaan berita yang tular tersebut.
“Saya memandang serius mengenai berita yang tular di media sosial mengaitkan seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan orang didakwa menyerang individu bernama Alias Awang menggunakan senjata tajam serta pistol sehingga mendatangkan kecederaan yang berlaku di Kuantan, Pahang.
“Justeru, saya menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.
“Sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ianya hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan,” titah baginda.
Baginda turut bertitah semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan baginda tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah.
“Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan saya sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat yang terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang,” titah baginda.
Sebelum ini tular berita berkenaan seorang lelaki mendakwa telah dipukul, ditikam dan ditembak sekumpulan lelaki termasuk seorang anak kerabat diraja Pahang di sebuah kandang kuda pada 6 Jun lalu.-PAHANGMEDIA

