Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : Projek naik taraf jalan di Cameron Highlands yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di pusat peranginan itu kini mencapai kemajuan sebanyak sebanyak 9 peratus setakat ini.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM122 juta bagi projek naik taraf ini.
“Yang pertamanya, sebelum ini kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM122 juta untuk menaiktaraf jalan daripada bulatan McDonald ke persimpangan Brincang yang dinamakan Time Tunnel dan membina one way loops di Kea Farm.
“Untuk masa kini saya dimaklumkan bahawa 9 peratus daripada progress tersebut telah dilaksanakan oleh pihak-pihak terbabit.
“Yang keduanya, dalam fasa 2B, masih dalam peringkat reka bentuk. Kerajaan juga telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM480 juta untuk menaiktaraf jalan persekutuan dan ini masih lagi dalam peringkat reka bentuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Encik Ho Chi Yang, pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Menurut beliau, terdapat perancangan jangka panjang dan jangka pendek berhubung penyediaan tempat letak kereta bertingkat khususnya di kawasan Kea Farm oleh Kerajaan Negeri.
“Majlis Daerah Cameron Highlands telah bersetuju dengan Cadangan Penyediaan Tempat Letak Kereta Sementara di atas sebahagian tanah milik MDCH di Lot 3898 (HSD 5433) dengan kerjasama Syarikat Casa Inspirasi Sdn. Bhd. yang telah diluluskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan dan Pengurusan Harta MDCH Kali Pertama Bagi Tahun 2024 pada 28 Februari 2024 bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan kekurangan tempat letak kereta.
“Tempat letak kenderaan sementara tersebut mengandungi dua fasa iaitu, Fasa 1 melibatkan 516 buah petak parkir yang dijangka akan siap dilaksanakan pada bulan Februari 2025, dan Fasa 2 melibatkan 543 buah petak parkir tertakluk kepada keperluan dan permintaan.
“Manakala untuk jangka pendek yang melibatkan pihak pemaju swasta sepenuhnya pula melibatkan penyediaan 19 unit tempat letak kereta di tapak pembangunan perniagaan sedia ada dan anggaran tambahan sekitar 50 unit di lot tempat letak kereta di tapak tambahan baru yang disewa dengan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) yang kini di dalam proses mendapatkan kelulusan pelan-pelan pembangunan oleh Syarikat Fresh Golden Highlands Sdn. Bhd,” katanya.-PAHANGMEDIA

