Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : Sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) perkayuan telah dicadang ditubuhkan di Lanchang, Temerloh bagi dijadikan pusat latihan industri perkayuan di Pahang.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata pusat berkenaan juga dapat menghasilkan produk kayu yang berkualiti.
“Mesyuarat Focus Group Pembangunan Pahang Barat pada 17 Julai 2023 telah mencadangkan penubuhan Pusat R&D Perkayuan di Taman Industri Perabot, Kampung Sempadan, Lanchang, Temerloh.
“Penubuhan Pusat R&D Perkayuan boleh dijadikan sebagai pusat latihan industri perkayuan seperti di Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) di bawah Kerajaan Negeri Terengganu.
“Pusat latihan ini boleh memberi latihan pengkhususan kepada golongan belia dan pengusaha industri perkayuan untuk menghasilkan produk yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB. Tuan Hasan Omar, pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, kawasan industri Kampung Sempadan, Lanchang yang dikhususkan untuk industri perabot tidak beroperasi sekian lama disebabkan industri perkayuan semakin berkurangan di Pahang.
“Lembaga Perkayuan Malaysia memaklumkan antara punca industri perkayuan semakin berkurangan di negeri Pahang adalah akibat permintaan dan pasaran yang semakin kurang, kos perbelanjaan yang tinggi dari segi barang keperluan pembuatan perabot, dan harga bagi bahan mentah iaitu kayu balak dengan harga bagi semiproduk adalah sama.
“Tiada kawalan harga bahan mentah kayu balak, dan industri perabot kini banyak menggunakan kayu getah atas faktor harga yang rendah.
“Kebanyakan pengusaha bumiputera industri perabot juga sukar untuk mendapatkan bekalan bahan mentah kayu balak dengan harga yang berpatutan kerana harga semakin mahal dan tidak dikawal,” katanya.-PAHANGMEDIA

