Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Pahang akan mengenal pasti lokasi baharu bagi menggantikan hutan simpan yang akan dibangunkan sebelum sebarang kebenaran dikeluarkan untuk pembangunan di kawasan berkenaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini bagi memastikan kawasan hutan simpan di negeri ini terus terpelihara.
“Hutan simpan di Negeri Pahang ini kalau sekiranya diusik, ditebang atau digunakan, ianya mesti diganti, dan semenjak lima tahun kebelakangan ini, ianya bukan diganti atas kertas, maksudnya dah jumpa kawasan hutan simpan yang diganti, dah kita wartakan, baru boleh diusik.
“Maknanya, kawasan yang kita tebang bagi tujuan buat jalan (Jalan Jerantut-Benta) tersebut kita dah kenal pasti untuk penggantian, kalau tidak ada penggantian kita tidak akan benarkan dan hasil daripada penebangan balak tersebut, masuk kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Pada pertanyaan itu, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim bertanyakan tentang status projek naiktaraf Jalan Jerantut – Benta sepanjang 44 kilometer kepada Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim.
Menurut YB. Dato’ Ir Razali Kassim, pembinaan laluan itu bagi fasa 1 – Segmen 7 telah pun siap dilaksanakan pada 25 Mei 2023 manakala fasa 3 – Segmen 1 pula sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada 24 Mac 2025.
Katanya, penaiktarafan laluan ini perlu dilaksana memandangkan ianya menjadi laluan alternatif kepada pengguna apabila tiba musim banjir selain keadaan jalan tersebut yang berliku-liku dan membahayakan pengguna.-PAHANGMEDIA

