Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 21 OGOS 2024 : Perhimpunan Solidariti Raja dan Rakyat Berpisah Tiada di perkarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 sebagai tanda bantahan kepada ahli politik yang menyentuh sentimen bangsa, agama, dan institusi di Raja (3R) berlangsung dalam keadaan aman.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, perhimpunan selama hampir satu jam tersebut berlangsung tanpa sebarang insiden dan dipantau oleh pihak polis.

“Untuk perhimpunan tadi dibuat pemantauan oleh pihak polis dan berlangsung dalam keadaan aman tanpa ada sebarang insiden.
“Penganjur telah membuat pemakluman berhubung perhimpunan ini sebelum ianya berlangsung,” katanya.
Sementara itu, menurut Presiden Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) Kebangsaan, Encik Aidid Fadhullah Abdul Sukor berkata himpunan ini sebagai tanda bantahan dan peringatan daripada anak muda kepada ahli politik untuk berpada-pada dalam berpolitik.
“Tujuan kami berkumpul hari ini sebenarnya jelas, kami nak beritahu kepada mereka di luar sana, mentang-mentang berpolitik, kita orang muda dengar, cakna.
“Kami mahasiswa MAMPAN mengambil berat hal ini kerana bila nak berpolitik janganlah sentuh isu 3R itu yang memainkan kedaulatan institusi di Raja, lagi-lagi di sentuh Yang Di Pertuan Agong Ke-16, Sultan Pahang kita.

“Sebagai wakil kepada mahasiswa anak Pahang, kami rasa perkara ini tidak boleh diteruskan dan kita perlu beritahu, beri signal kepada mereka, nak berpolitik berpada-pada dan kami anak muda di sini berpendirian isu 3R tidak patut di sentuh,” katanya.
Menurut Aidid Fadhullah, peringatan ini tidak merujuk kepada mana-mana individu tetapi menyeluruh kepada semua ahli politik tanpa mengira parti.
“Ini bukan melibatkan mana-mana individu tetapi merujuk kepada semua individu tanpa mengira daripada parti mana sekalipun.
“Parti di sebelah sana kalau dia buat salah, teruskan hukuman mereka, kalau ada ahli politik yang buat salah atau menyentuh isu 3R semua patut di hukum sama rata tanpa mengira apa pun alasannya,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak MAMPAN juga telah membuat dua laporan polis berkaitan isu ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin lepas. -PAHANGMEDIA

