Oleh : Fansurina Abdullah
KUCHING, 22 OGOS 2024 : Nurul Aiyani Mohamed Kamaluddin, 18, menghadiahkan emas kedua bagi sukan olahraga acara baling tukul besi wanita yang berlangsung di Stadium Sarawak, pagi tadi.
Semalam Noor Shahreena Hamizan menyumbangkan emas pertama olahraga menerusi acara Lompat Bergalah Wanita.
Nurul Aiyani menewaskan Perlis dan Sarawak dengan catatan jarak 44.28 meter.
Menurut Nurul Aiyani, ini merupakan kali pertama dia menyertai SUKMA dan tidak menyangka dapat menyumbang emas bagi Kontinjen Pahang.

“Saya gembira la dapat sumbang emas kepada Pahang walaupun saya tidak menjangka pun akan dapat emas kerana saingan memang sengit daripada negeri-negeri lain,” katanya.
Nurul Aiyuni yang merupakan pelajar Pra Universiti (Sains) di Sekolah Sukan Gambang turut menitipkan kata-kata semangat buat rakan-rakan seperjuangan agar terus berusaha menggondol emas buat Pahang.
“Teruskan berjuang untuk merebut pingat emas demi Pahang dan jangan bandingkan kekurangan kita dengan orang lain kerana kita juga mempunyai kelebihan sendiri,” katanya.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI bermula pada 17 Ogos hingga 24 Ogos depan melibatkan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.-PAHANGMEDIA

