Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : S. Prathap
GENTING HIGHLANDS, 16 OGOS 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya merekodkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM36.94 bilion sepanjang tahun 2022 sehingga 2023 melalui kemasukan pelabur dari dalam dan luar negeri ini.
Pegawai Pelaburan Negeri Pahang merangkap Pengarah Eksekutif Koridor Utiliti Pahang (KUP), YH. Dato’ Kamarul Arifin Ahmad berkata kesemua pelaburan ini bakal direalisasikan selepas mendapat kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Pelaburan-pelaburan ini bakal direalisasikan selepas mendapat lisence of manufacturing daripada pihak MIDA dan juga kelulusan-kelulusan berkaitan daripada Pihak Berkuasa Tempatan.
“Ini seterusnya akan membantu memajukan ekonomi Negeri Pahang daripada sudut perindustrian dan peluang pekerjaan dan juga hasil kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Apresiasi Koridor Utiliti Pahang Bersama Pihak Berkuasa Melulus Dan Penyedia Utiliti Di Negeri Pahang Darul di Geo Resort & Hotel.
Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan Setiausaha Bahagian Bahagian Kerajaan Tempatan, YBrs. Encik Che Wan Muhammed Salleh Al-Koris Bin Che Wan Jaafar @ Wan Adnan.
Menurut beliau, sebanyak 11.4 peratus kenaikan turut direkodkan dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Negeri Pahang bagi tahun 2020 sehingga 2023.

“Kita juga telah merekodkan kenaikan GDP atau KDNK yang amat memberangsangkan. Tahun lepas pada 2023, rekod KDNK kita adalah 5.2 peratus mengatasi KDNK nasional.
“11.4 peratus kenaikan dan direkodkan dalam GDP daripada tahun 2020 hingga 2023 dengan nilaian RM54.9 juta kepada RM65 juta.
“Jadi kenaikan dalam KDNK sudah semestinya sumbangan daripada semua yang terbabit sama ada pihak berkuasa melulus, pihak yang mencari pelaburan, pihak yang menguruskan dan sebagainya yang membolehkan ekonomi Negeri Pahang terus maju,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang turut merekodkan nilai eksport sebanyak RM34.28 bilion daripada tahun 2021 sehingga 2023.
“Tidak lupa juga daripada 2021 hingga 2023 kita telah mengutip dan juga merekodkan kenaikan hasil sebanyak 101.69 peratus daripada RM865.9 juta pada 2021 kepada RM1.306 bilion pada tahun 2023.
“Semua ini tidak boleh dicapai dan tidak boleh kita dapat kecuali dengan support, kerjasama, dan usahasama daripada semua peringkat,” katanya.-PAHANGMEDIA

