Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : S. Prathap
GENTING HIGHLANDS, 16 OGOS 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Koridor Utiliti Pahang (KUP) sedang membangunkan sistem Ekosistem Koridor sebagai usaha mempercepatkan proses permohonan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata sistem yang diwujudkan pada penghujung 2022 adalah selari dengan konsep ‘Ease of Doing Business’ yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Kerajaan Negeri Pahang juga memandang serius berkaitan dengan kelewatan dalam memberi kelulusan kepada permohonan dari syarikat penyedia utiliti yang mana YAB Menteri Besar Pahang telah membangkitkan isu ‘Ease of Doing Business’ di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Oleh yang demikian, bagi mempercepatkan proses permohonan, pihak KUP sedang membangunkan Sistem Permohonan Atas Talian yang diberi nama Ekosistem Koridor yang mana pemohon tidak perlu lagi hadir secara fizikal ke pejabat KUP untuk membuat permohonan dan pemohon boleh membuat permohonan secara terus melalui atas talian sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Apresiasi Koridor Utiliti Pahang Bersama Pihak Berkuasa Melulus Dan Penyedia Utiliti Di Negeri Pahang di Geo Resort & Hotel.
Turut hadir, Pegawai Pelaburan Negeri Pahang merangkap Pengarah Eksekutif Koridor Utiliti Pahang (KUP), YH. Dato’ Kamarul Arifin Ahmad; dan Setiausaha Bahagian Bahagian Kerajaan Tempatan, YBrs. Encik Che Wan Muhammed Salleh Al-Koris Bin Che Wan Jaafar @ Wan Adnan.
Menurut beliau, kemajuan bagi pembangunan sistem ini telah berjalan dengan dua daripada lima modul dijangka dapat disiapkan dalam bulan Oktober 2024.
“Ekosistem Koridor ini mempunyai enam sistem iaitu Sistem Pengurusan Koridor untuk penggunaan dan pengurusan dalaman KUP; Sistem Permohonan Atas Talian untuk pengunaan pemohon; Sistem Pihak Berkuasa Melulus untuk penggunaan Pihak Berkuasa melulus; Sistem Geospatial; dan Sistem Panel Juruukur.
“Pembangunan bagi sistem ini telah berjalan dan sebanyak dua daripada lima modul iaitu Sistem pengurusan Koridor serta Sistem Permohonan Atas Talian dijangka dapat disiapkan dalam bulan Oktober 2024,” katanya.
Beliau berharap sistem ini dapat menjadi pemudahcara kepada pemohon dan juga Pihak Berkuasa selain dapat memantau setiap permohonan dengan lebih efisien dan secara masa nyata.-PAHANGMEDIA

