Oleh : Hasuzila Hashim
LIPIS, 16 OGOS 2024 : Lebih 100 mahasiswa yang juga merupakan anak-anak anggota koperasi dari seluruh Malaysia menyertai Program Motivasi Pelajar Yayasan Angkasa Bersama Keluarga Angkat Komuniti Felda Gugusan Sungai Koyan di sini semalam.
Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Dato’ Amizar Abu Adam berkata, program ini dapat memberi nilai tambah kepada pelajar mengenai aspek pengetahuan dan kemahiran dalam bidang koperasi selain dapat menarik generasi muda untuk melibatkan diri dalam gerakan koperasi.

“Penduduk FELDA Sungai Koyan sangat bertuah kerana dipilih untuk menerima pelajar-pelajar IPT seramai 115 orang yang merupakan anak-anak anggota koperasi dari seluruh Malaysia.
“Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, ia juga dapat berkongsi pengalaman dan gambaran kehidupan di FELDA serta dapat meningkatkan ekonomi setempat,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Progam Motivasi Pelajar Yayasan Angkasa Bersama Komuniti Felda Gugusan Sungai Koyan Sesi 2024 di Laman Sejahtera Felda Sungai Koyan, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Angkasa Merangkap Presiden Angkasa, Dato’ Sri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
YB Dato’ Amizar turut mengingatkan kepada anak-anak pelajar supaya mengambil peluang dan ruang pelbagai program dan inisiatif yang bakal dilaksanakan sama ada koperasi atau Kerajaan Negeri Pahang.
“Tahniah dan Syabas kepada keluarga angkat yang dapat menerima mahasiswa-mahasiswa ini, terima kasih juga kepada Yayasan Koperasi kerana memberikan satu program yang begitu memberi manfaat kepada pelajar-pelajar ini,” katanya.-PAHANGMEDIA

