Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Wan Muhamad Faris Ridhwan (MSP)
KUCHING, 16 OGOS 2024 : Pasukan Lawn Bowls Pahang berjaya mara ke peringkat akhir selepas berjaya menewaskan pasukan lawan dari Kedah dengan keputusan 17-8.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob berkata, sekiranya Pahang berjaya menumpaskan pasukan dari Selangor pada peringkat akhir petang ini, pasukan lawn bowls menjadi penyumbang pingat pertama bagi Kontinjen Pahang.
“InsyaaAllah kita yakin akan dapat pingat emas, pingat emas pertama sebab kita tidak dapat apa-apa pingat lagi jadi harap petang ni kita akan dapat pingat emas pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir Lawn Bowls di mana Pahang menentang Kedah yang berlangsung di Arena Lawn Bowls Sarawak di Petrajaya, Kuching di Sarawak.
Hadir sama ialah Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal , Presiden Persatuan Lawn Bowls Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Zakaria Ibrahim, YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, YBrs Encik Mu’azamir Jili, Timbalan Pengarah JBS, YBrs Encik Shafrul Haji Kadir dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Saudara Saharuddin Ahmad.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI telah bermula pada 17 Ogos dan akan berakhir pada 24 Ogos depan dengan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.-PAHANGMEDIA

