Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Wan Muhamad Faris Ridhwan (MSP)
KUCHING, 16 OGOS 2024 : Pasukan hoki wanita Pahang memulakan langkah baik apabila berjaya menewaskan lawannya pasukan tuan rumah iaitu Sarawak dengan keputusan 6-0.
Perlawanan pembukaan ini telah berlangsung di Stadium Hoki Petrajaya dengan disaksikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang turun sendiri memberikan sokongan kepada pasukan Pahang.
Menurut YB. Tuan Fadzli, kemenangan ini membuka ruang kepada pasukan hoki wanita Pahang untuk terus mempertahankan emas pada SUKMA 2022 lalu.
“Alhamdulillah perlawanan yang menarik, kita berjaya menewaskan Sarawak 6-0, perlawanan pertama, jadi saya harap komitmen pasukan hoki ini berterusan sehingga mencapai sasaran emas.
“Saya harap mereka kekalkan momentum ini untuk meraih kemenangan seterusnya sekaligus melangkah ke perlawanan akhir dan berjaya capai target kita untuk meraih emas bagi sukan hoki wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan pembukaan hoki wanita di Stadium Hoki Petrajaya, Kuching di Sarawak, hari ini.
Untuk rekod, pasukan hoki lelaki Pahang juga berjaya mengalahkan Sabah dengan keputusan 2-1 pada perlawanan yang berlangsung serentak, pagi tadi.
YB Tuan Fadzli turut ditemani Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Dan Adat Bumiputera), YB Dato’ Jefferson Jamit Anak Unyat, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, YBrs Encik Mu’azamir Jili, Timbalan Pengarah JBS, YBrs Encik Shafrul Haji Kadir dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Saudara Saharuddin Ahmad.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI telah bermula pada 17 Ogos dan akan berakhir pada 24 Ogos depan dengan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.-PAHANGMEDIA

