Oleh : Fansurina Abdullah
PEKAN, 29 JUN 2024 : Kerajaan Pahang komited mendidik anak muda tentang peluang pemilikan hartanah khususnya pada usia belia bagi menggalakkan minat dan kesungguhan golongan tersebut.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, penganjuran Taklimat Kesedaran Pemilikan Hartanah Anak Muda yang dilaksanakan di Daerah Pekan dapat membuka mata terhadap peluang dalam memiliki aset bernilai seperti perumahan dan hartanah di Pahang.
“Program ini sangat baik diadakan untuk kita memberi sedikit kesedaran atau pun maklumat-maklumat yang berguna kepada anak-anak muda yang ingin tahu tentang bagaimana cara untuk kita memiliki tanah dan rumah yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri.
“Dan pemilikan hartanah ini bukanlah terletak kepada mereka yang berumur sahaja yang sebenarnya pemilikan hartanah ini juga boleh dimiliki oleh anak-anak muda khususnya mereka yang telah mendirikan rumahtangga dan di sini juga kita memberi penjelasan kepada anak-anak muda bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengambil tahu tentang keperluan-keperluan yang diperlukan oleh anak muda masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Taklimat Kesedaran Pemilikan Hartanah Anak Muda Negeri Pahang Daerah Pekan 2024 di Inderapura Lake Resort di Pekan, petang tadi.
Hadir sama ialah Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang merangkap ADUN Peramu Jaya, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim dan Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) Parlimen Pekan, YBrs Encik Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed.
Taklimat ini turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, Pejabat Pertanian Daerah Pekan dan wakil pihak bank yang memberikan taklimat berhubung kaedah dan cara pemilikan hartanah yang betul.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, Kerajaan Negeri turut mewujudkan beberapa skim bagi memastikan hartanah-hartanah mampu milik seperti PR1MA Pahang ini akan dapat dimiliki oleh golongan muda dan skim ini akan ditambah pada masa akan datang.
Sehingga kini, sebanyak 7,600 unit rumah telah berjaya disiapkan di bawah pengurusan LPHP dan penyerahan kunci kepada pemilik yang layak akan dilaksanakan dalam masa terdekat. – PAHANGMEDIA

