Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUALA LUMPUR, 30 JUN 2024 : Tajaan Kerajaan Negeri Pahang kepada peserta sukan karting, Amirul Afiq dapat membantunya melakukan persediaan rapi bagi menyertai kejohanan di Belgium bulan hadapan.
Menurut Amirul Afiq Mohd Fhakaruddin, 22, daripada Temerloh melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan YAB. Menteri Besar Pahang diatas tajaan berkenaan yang sangat diperlukannya.
“Bantuan sebanyak RM3,000 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada saya sangat membantu dari segi kemudahan di sana (Belgium) serta persediaan untuk latihan.
“Saya juga gunakan duit berkenaan untuk tambahan masa latihan kerana tempoh masa yang diberikan oleh penganjur hanya 10 minit sahaja.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang kerana memberikan bantuan kewangan kepada saya,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Meraikan Pemenang SWS Sprint Cup Malaysia Ke Belgium untuk SWS International Finals 2024 pada 3 Julai sehingga 6 Julai ini.
Menurut juara SWS Malaysia Sprint Cup 2023 Series ini, beliau berharap sukan karting ini dapat menarik minat lebih ramai anak muda seperti mana sukan permotoran di negara ini.
“Harapan saya nak ada buka trek terbuka di Pahang untuk memberi lebih peluang kepada anak Pahang menceburi bidang ini memandangkan sukan permotoran lebih terkenal daripada go kart dan kereta sebab kosnya yang lebih tinggi.
“Saya juga berharap dengan penyertaan ke kejohanan di Belgium ini dapat membuka mata pihak luar kepada bakat di Malaysia dan bukan tertumpu kepada pemain Eropah semata-mata,” katanya yang mensasarkan tempat lima terbaik dalam kelompoknya.
Ditanya mengenai persediaannya, Amirul Afiq yang akan menyertai kategori terbuka amatur dalam perlumbaan itu, menyifatkan semuanya baik kerana dia menggunakan simulator untuk merasai pengalaman berlumba di trek di Belgium sepanjang 1.4 kilometer yang menjadi trek kejohanan.
Amirul Afiq yang menceburi sukan karting sejak dua tahun lepas sebelum ini telah menyertai SWS Malaysia Sprint Cup 2022 Series dan mendapat tempat kedua di mana juara pada ketika itu adalah Jason Siew. -PAHANGMEDIA

