Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 JUN 2024 : Kerajaan Pahang menggalakkan warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuklah mahasiswa agar menganjurkan program belia bagi mendidik mereka berdikari dalam menganjurkan sebarang program.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha ini akan dapat melatih para siswa dan siswi untuk berada di lapangan sebenar apabila berhubung dengan pelbagai pihak sama ada kerajaan, badan korporat mahu pun pihak swasta.
“Pelajar ini dapat berdikari dalam menganjurkan program-program serta aktiviti-aktiviti sepanjang festival ini berlangsung dan mereka dalam konsep berdikari ini mencari penajaan sendiri daripada pihak luar khususnya syarikat-syarikat di seluruh Negeri Pahang dan juga di luar Pahang.

“Ini adalah pengalaman menarik kepada mereka yang tidak mana tidak banyak universiti melakukan perkara yang sama di mana setiap program dan aktiviti yang dianjurkan perlu mencari penaja untuk menyumbang.
“Ini adalah persediaan dan persiapan yang bagus untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran yang tidak dapat diperolehi di bilik kuliah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan ‘Youth Festival’ anjuran Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) Cawangan Pahang di Kuantan, pagi tadi.
Hadir sama ialah Ketua Cawangan TAR UMT Pahang, YBhg Cik Tan Ying Yi, Pengarah Program Youth Festival 2024, YBhg Puan Norhabibi Aishah Shaiful Bahari dan Ketua Pengarah Havoc Event And Management Sdn Bhd, YBhg Encik Muhammad Firdaus Nadzeman.
Youth Festival 2024 itu diadakan sebagai manifestasi komitmen TAR UMT dalam memelihara, memberdaya dan meraikan potensi di kalangan anak muda.
Antara acara menarik yang turut dianjurkan sempena Youth Festival ialah acara sukan, pameran serta festival makanan yang melibatkan golongan belia sebagai usahawan dan juga pengunjung. – PAHANGMEDIA

