Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 JUN 2024 : Pasukan takraw bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dilihat berpotensi untuk menyumbangkan pingat emas kepada pasukan Pahang pada kejohanan Ogos ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata setakat ini kontinjen Pahang menyasarkan memperoleh satu perak dan tiga gangsa bagi pasukan takraw namun tiada yang mustahil pada saat akhir.

“Saya melihat potensi besar atlet ini untuk melangkaui sasaran yang telah kita tetapkan dan dalam perjumpaan ini juga saya menyatakan komitmen bahawa sasaran itu mampu dipecah dan mendapat sasaran yang lebih baik untuk pingat emas sebenarnya.
“Dan saya optimis takraw masih mempunyai masa sehingga mencapai sasaran pingat emas itu sendiri sebab pada saya tiada yang mustahil.
“Jadi saya minta para atlet dan pemain serta jurulatih untuk fokus melangkaui sasaran yang telah kita tetapkan sekaligus membolehkan pasukan takraw kita meraih emas di SUKMA pada kali ini,” katanya.

Menurut beliau berdasarkan bakat yang ditunjukkan pasukan takraw, pasukan ini memiliki potensi untuk mendapatkan pingat emas.
“Apa-apa pun boleh berlaku ketika kejohanan dan saya optimis dengan kemampuan sukan takraw ini mampu ditingkatkan kepada peringkat yang lebih tinggi.
“Ini hanya sasaran yang ditetapkan mungkin mengambil kira pencapaian semasa pasukan kita dan pasukan lawan dan sasaran ini boleh kita atasi dengan pingat yang lebih baik sebab ada masa lagi, 50 hari lagi menjelang SUKMA.
“Jadi dalam tempoh ini banyak teknik, skill, motivasi pemain yang boleh ditingkatkan lagi dan tak mustahil satu perak dan tiga gangsa ini boleh dipecahkan mungkin kita boleh dapat satu pingat emas. Segalanya atas mereka,” katanya.
Beliau turut melahirkan komitmen untuk menghabiskan pertemuan bersama 16 lagi pasukan yang menyertai SUKMA daripada 36 pasukan keseluruhan.
YB. Tuan Fadzli sebelum itu meluangkan masa kira-kira satu jam melihat latihan pasukan takraw dan menyampaikan sumbangan kepada 14 atlet serta seorang pengurus pasukan dan tiga jurulatih di Majlis Sukan Pahang (MSP). -PAHANGMEDIA

