Oleh : Fansurina Abdullah dan Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
BERA, 28 JUN 2024: Kerajaan Pahang meminta agar penjawat awam dapat meningkatkan koordinasi antara jabatan kerajaan khususnya dalam pengurusan bencana.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob berkata, usaha ini akan dapat memastikan penyelarasan kecekapan pengurusan bencana dapat dipertingkatkan di Negeri Pahang.
“Dulu, proses untuk masuk ke pusat banjir ni susah kerana terlalu banyak birokrasi, maknanya kena isi borang dan beratur panjang.
“Sekarang, pelaksaannya lebih baik. Susunan kerja lebih teratur dan memudahkan proses urusan rakyat yang terlibat dalam bencana banjir.
“Perkara baik yang boleh dilaksanakan walaupun nampak susah, tetapi kita boleh jayakan kerana kita bertekad untuk berubah ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Bera ‘Kita Seia Sekata’ di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di Bera, pagi tadi.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YH. Dato’ Dr. Mohd Zakaria Ibrahim, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif dan ketua – ketua jabatan.
Dalam ucapannya juga, Dato’ Sri Haji Zulkifli berkata, turut menekankan penyelerasan persepakatan antara jabatan bagi mengatasi isu projek terbengkalai dan projek sakit di seluruh daerah di Pahang.
Jelasnya, persefahaman dan sikap bertolak-ansur sangat penting supaya perkara yang tidak dapat dilakukan sendiri dapat dilaksanakan bersama – sama. –PAHANGMEDIA

