Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Pelaksanaan projek ‘Quick Win’ di beberapa lokasi menjadi cara penyelesaian jangka pendek sementara impak secara menyeluruh menerusi projek-projek pembangunan yang lain terus dilakukan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara projek ‘quick win’ tersebut adalah menyiapkan ‘In-line Booster’ di Bukit Goh, Kuantan, membina tangki sedutan dan rumah pam di Kampung Tersusun, Lipis dan menaiktaraf sistem bekalan air di Rumah Pam Mentakab, Temerloh.
“Jumlah keseluruhan projek ‘quick win’ ini adalah sebanyak 16 buah projek membabitkan komitmen kewangan dalaman sebanyak RM12 juta.
“Projek ini hanya dapat dilaksanakan dengan kedudukan kewangan yang kukuh dan kutipan hasil yang dilakukan semestinya dikembalikan untuk kegunaan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu ketika menyentuh berkenaan permasalahan air di kawasan Beserah, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy sempat membidas ADUN Beserah agar berlaku adil dalam menceritakan usaha mengatasi bekalan air yang telah dilakukan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, permasalahan air di Balok Jaya belum selesai di mana ia dalam perancangan untuk diselesaikan melalui pelaksanaan projek pembangunan di kawasan berkenaan yang masih di peringkat pra-pembinaan.
Namun begitu, permasalahan di DUN Beserah termasuk di kawasan Gebeng, yang sebelum ini sangat kritikal kini telah diselesaikan sehingga mendapat penghargaan daripada Gebeng Industrial Support Group (GISG).
“Projek penukaran pam-pam di Rumah Pam Kobat telah siap dilaksanakan, dan alhamdulillah telah memberi impak yang sangat baik serta membantu menyelesaikan permasalahan di kawasan tersebut.
“Untuk makluman, sehingga kini terdapat enam lagi projek di kawasan Beserah yang sedang dilaksana dan dalam peringkat pra-pembinaan, antaranya membina tangki imbangan berkapasiti 106 juta liter sehari (JLH) di Kawasan Perindustrian Gebeng, pemasangan paip air dari Kemaman ke Gebeng sepanjang 29.8 kilometer, kerja-kerja penggantian paip di kawasan Balok sepanjang 8.5 kilometer serta kerja-kerja penggantian paip dari tangki industri Gebeng ke Institut Latihan Perindustrian Gebeng sepanjang 3.3 kilometer,” katanya. -PAHANGMEDIA

