Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Penglibatan YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Rundingan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang hanya secara formaliti sahaja, kerana rundingan berkenaan telah dimuktamadkan pada 29 September 2019 iaitu sebelum beliau menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air lagi.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada 30 Mac 2020 iaitu baru beberapa hari YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim menjadi menteri, semua draf perjanjian yang dimuktamadkan sebelum ini dikemaskini sehingga kepada Perjanjian Pengstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Pahang yang ditandatangani pada 23 Disember 2020.
“Bagaimanapun, saya tidak menafikan penglibatan Yang Berhormat Cheka (Dato’ Sri Tuan Ibrahim) dalam usaha ini ketika Yang Berhormat Cheka sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.
“Namun begitu, tanpa penglibatan Yang Berhormat Cheka, penghapusan hutang ini sebenarnya boleh sahaja dilakukan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berdasarkan Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Seksyen 17 (a) (b),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Beliau berkata, kejayaan utama pengurangan hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang bernilai RM2.1 bilion ringgit merupakan kesepakatan dan persetujuan bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, begitu juga dengan hutang Sukan Malaysia (SUKMA) berjumlah RM168.8 juta telah pun dilangsaikan dengan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2022.
Jelasnya, kejayaan-kejayaan ini merupakan usaha berterusan Kerajaan Pahang dalam memastikan pengurusan kewangan dapat diuruskan dengan teliti dan tidak membebankan perbelanjaan negeri bagi membolehkan pelbagai bentuk pembangunan di Pahang.
“Cukup-cukuplah mengelirukan rakyat dengan hanya berkisar soal istilah dan kaedah kerana pengurangan hutang adalah satu kejayaan yang perlu diakui oleh semua pihak.
“Yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipit tidak akan datang melayang’, adalah gambaran jelas bahawa Kerajaan Negeri tidak berpeluk tubuh sebaliknya mengerah segenap usaha untuk mengurangkan hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – PAHANGMEDIA

